Pembahas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu dari beberapa negeri yang dikuasai pembangkang dikatakan kecewa dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun.

Seorang perwakilan yang enggan dikenali berkata, beberapa pembahas hari ini menemplak menteri itu yang dikatakan tidak memikirkan kebajikan ahli parti.

"Daripada apa yang saya dengar, ada beberapa pembahas yang marah terutama mereka dari negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Menurut beliau, isu utama yang dibangkitkan adalah mengenai pembahagian jawatan ketua kampung menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang dikendalikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Pelik juga kenapa jawatan ketua kampung di negeri-negeri itu diberikan kepada orang UMNO sedangkan ahli Bersatu ini ramai yang bergolok gadai untuk parti hinggalah kita menang pada 9 Mei.

"Saya rasa tak salah mereka soalkan. Sudah tentu mereka yang terkesan akan terasa kecil hati," katanya.

Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan komen daripada Rina. Namun setakat ini, menteri itu tidak dapat dihubungi.

Astro AWANI difahamkan bahawa Rina akan menjawab isu ini di dalam ucapan penggulungan Ketua Srikandi sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu petang ini.

Selain itu, menurut perwakilan itu, antara perkara lain yang diutarakan di dalam sesi perbahasan tertutup itu termasuk hal-hal berkaitan pengurusan dan pentadbiran parti.

"Contoh macam maklumat penting dari pusat tidak sampai ke bahagian dan cawangan, jadi kami pun tak tahu apa yang terjadi.

"Termasuklah bila ada menteri-menteri kita yang turun ke negeri pun tak diberitahu. Kami rasa kesal bila menteri datang, tetapi tidak dapat berjumpa," tambahnya.

Isu melibatkan Felda dan kejatuhan harga kelapa sawit turut dipersoalkan, menurut perwakilan itu.

Katanya, ramai bumiputera yang terkesan dan masih menunggu tindakan lanjut oleh kerajaan untuk memulihkan keadaan.

"Contoh macam orang Felda, kalau ikut seorang pembahas ini, dia kata bantuan sara hidup masuk lambat sangat sampai sudah hujung tahun.

"Tentang kejatuhan harga sawit, memang ramai nak tahu apa tindakan kerajaan untuk membantu mereka kerana kalau dulu mereka boleh mendapat pendapat antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, sekarang ni nak dapat RM1,000 pun terasa perit," katanya lagi.