Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam isu sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan suasana yang tidak selesa dan tegang kepada ahli parti itu sendiri.

Felo penyelidik dari Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, kenyataan Presiden UMNO itu juga gagal ditafsir dan perlu dilihat dari sudut yang luas daripada orang bawahan parti.

"Bukan itu sebenarnya yang pimpinan UMNO mahukan, tetapi secara realitinya kenyataan ini menunjukkan UMNO adalah sebuah parti yang tidak boleh dipermain-mainkan oleh mana-mana pihak.

"Semua kena ambil iktibar daripada apa yang berlaku dan setiap pihak di dalam politik dalam negara ini sebenarnya harus menilai dan juga melihat kekuatan masing-masing sama ada ia boleh ditafsirkan kepada tindakan politik yang relevan.

"Ataupun boleh kita lihat sebagai memberi satu peluang atau ancaman yang bakal berlaku apabila gerakan politik seperti yang telah dilakukan Anwar itu dilakukan atau terjadi," katanya semasa dihubungi di sini, pada Sabtu.

BACA: UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimennya mahu sokong Anwar - Ahmad Zahid

BACA:
Zahid perlu perjelas, redakan segala keraguan - Ketua UMNO Bahagian

Dr Ahmad Zahid sebelum ini berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, kata beliau, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu kata Dr Achmad Dzariean, kenyataan Ahmad Zahid telah mencetuskan impak dan keadaan yang boleh mengucarkacirkan ahli-ahli umno di peringkat bawahan dan mungkin juga kegusaran di peringkat pemimpin UMNO sendiri.

Ujarnya, apabila berlaku cetus ketidakselesaan ahli UMNO yang fikir bahawa apabila ada sokongan ahli Parlimen UMNO kepada Anwar sudah pasti pertukaran kerajaan akan berlaku.

"Pada dasarnya saya anggap kenyataan UMNO ada pelbagai muslihat. Antara tafsiran muslihat apa yang terkandung di sebalik ucapan Ahmad Zahid itu sendiri, ia mempunyai pelbagai maksud

"Antaranya ialah pertama, dia mahu beri isyarat kepada PN bahawa UMNO sebenarnya boleh jadi king maker, dengan kedudukan Ahli Parlimen yang begitu kuat, antara yang paling ramai pada ketika ini dan keupayaan UMNO untuk mencetuskan suasana kucar kacir dalam kerajaan hari ini tidak boleh dipandang ringan dan enteng oleh pemimpin tertinggi Bersatu dan PN.

"Walau sebenarnya kita melihat terdapat juga beberapa parti lain cuba berusaha jadi king maker, contohnya Pas, pada pandangan saya mereka juga ada strategi politik berbeza mereka beri sokongan kepada PN, mereka beri komitmen kepada MN, mereka juga sedia sokong BN tapi hakikatnya politik berdasarkan angka," katanya.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, kenyataan sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu dilihat bertentangan dengan janji sebelum ini yang telah mengizinkan Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyokong kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.