Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung usaha memenuhi agenda bumiputera demi menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan orang Melayu adalah pandangan peribadi.

Jelasnya, PH tidak menggunakan agenda kaum, sebaliknya akan terus membantu rakyat yang memerlukan.

“Itu pandangan peribadi beliau. Dalam PH kita tak ketepi Melayu dan Bumiputera. Itu dalam manifesto PH. Namun pendekatan itu lebih telus dan tidak berkait dengan agenda kaum , tetapi agenda rakyat. Yang miskin, yang tersisih akan dibantu. Majoritinya adalah Melayu, tetapi pendekatannya bukan pendekatan kaum,” katanya semasa sidang media selepas program 'DNA23: Digital Native Agenda' di sini pada Isnin.

Azmin sebelum ini menggesa kerajaan pusat tidak lagi "apologetic" dalam melaksanakan janji yang melibatkan agenda Melayu dan bumiputera.

Timbalan presiden PKR itu berkata, kekalahan PH di Semenyih merupakan mesej jelas rakyat agar kerajaan segera bertindak menyelesaikan masalah dan kebajikan rakyat tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.