Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Ahmad Faizal Azumu kononnya Barisan Nasional (BN) ketandusan calon sekiranya benar, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bertanding DUN dan Parlimen, disifatkan sebagai melucukan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kenyataan itu juga menggambarkan Ahmad Faizal baru dalam politik dan seorang pengerusi yang tidak matang.

“Semua kita merasakan itu kenyataan yang sangat lucu, seolah-olah dia orang baru dalam politik, betullah dia Pengerusi Pakatan Harapan yang baru.

“Sekali menuding jari kepada orang lain, ada empat jari menuding kepada diri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal berkata, tindakan meletakkan seorang calon bertanding dua kerusi iaitu DUN dan Parlimen memperlihatkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa bergantung harap kepada beberapa ahli yang masih taat kepadanya untuk kekal berkuasa.

Saarani mempersoalkan apakah Pengerusi PH Perak itu lupa bahawa rakan-rakannya di dalam PH seperti Lim Guan Eng, Datuk Seri Azmin Ali, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham turut bertanding dua kerusi.

“Jadi sebenarnya dia nak tunjuk pada siapa, kepada BN ataupun nak tuju kepada PH sendiri.

“Adakah dia boleh beri jaminan bahawa Nga Kor Ming hanya bertanding satu kerusi ataupun Ngeh Koo Ham akan bertanding satu kerusi, ataupun selepas ini Lim Guan Eng pun akan bertanding satu kerusi,” ujarnya.