Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan partinya memboikot mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Sabtu bagi memutuskan mengenai kedudukan Kabinet.

Malah Mohamed Azmin menjelaskan, nama tiga menteri Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dimuktamadkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Penjelasan Mohamed Azmin ini juga sekali gus menepis dakwaan PKR menolak nama tiga menteri kanan yang telah diumumkan oleh Dr Mahathir pada Sabtu.

"Muktamad adalah di peringkat Yang di-Pertuan Agong. Itu nama-nama yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau telah memberikan pandangan dan menerima pandangan daripada Pakatan Harapan, jadi nama-nama akan diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat di sini, hari ini.

BACA: PKR anggap pengumuman menteri tidak muktamad - Rafizi

BACA: Rafizi disaran ikut saluran betul - Khairuddin

BACA: Rafizi, terimalah keputusan secara positif - Nurul Izzah

Mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa senarai itu belum muktamad, Mohamed Azmin berkata perkara itu merupakan pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Beliau menjelaskan, rundingan masih berjalan dan PKR mahu Ketua Umumnya yang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi sebahagian daripada perbincangan.

BACA: Anwar ulangi sokongan padu PKR kepada kepimpinan PM Tun Mahathir

"Sangat malang, Anwar tidak dapat menyertai mesyuarat yang berlangsung semalam.

"Jadi ia bukan soal boikot, tapi kami mahu Anwar sebagai Ketua Umum untuk memberikan pandangan beliau juga," katanya lagi.

Menurut beliau, PKR juga cukup senang dengan usaha Perdana Menteri menziarahi Anwar di Hospital Rehabilitasi selepas mesyuarat tersebut bagi meneruskan perbincangan berkenaan.