Kepelbagaian kaum dan budaya di negara ini membentuk perpaduan dalam acuan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia selari bantuan yang disalur kerajaan kepada semua etnik dan sub etnik termasuk di Sarawak selama ini.

"Keunikan keharmonian dalam kepelbagaian kaum itu perlu menjadi satu kebanggaan yang harus dikekalkan.

"Kita percaya kepada kepelbagaian, walaupun kita mengamalkan budaya masing-masing, cara hidup masing-masing, tetapi kita dalam satu ikatan keluarga kita rakyat Malaysia, Sarawak merdeka dalam Malaysia," katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Redeems Centre, Singai, Bau di sini hari ini.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Tasik Biru N2, Datuk Henry Harry Jinep.

Pada majlis sama, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta di kawasan Bau.

Ia termasuk RM5 juta untuk pembinaan pusat kebudayaan kaum Bidayuh di Bau, manakala bakinya untuk naik taraf jalan raya simpang Sibuluh ke pekan Bau.

Kata Najib lagi, masa pilihanraya merupakan waktu untuk menentukan perkara yang menjadi keutamaan selain yang mewakili kepentingan.

"Saya lihat keperluan pembangunan masih diperlukan rakyat Sarawak. Mereka melihat siapa yang boleh beri dan bawa pembangunan.

"Kita bukan seperti pembangkang yang berjanji macam-macam namun tidak membawa pembangunan selepas pilihan raya," jelasnya.

Kerusi DUN Tasik Biru menyaksikan perebutan dua penjuru antara Henry dan calon DAP, Mordi Bimol.

DUN Tasik Biru mempunyai seramai 17,041 pengundi berdaftar.