Parti Agama Islam Se-Malaysia (Pas) berharap kerajaan baharu Malaysia, Pakatan Harapan (PH) akan sentiasa meletakkan kepentingan negara dan aspirasi rakyat sebagai agenda utama.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang walaupun PH terdiri dari pelbagai ideologi namun harapan rakyat perlulah menjadi keutamaan dalam pemerintahan mereka.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kewajipan menyelamatkan negara lebih penting daripada segala-galanya.

“Rakyat yang menjadi rukun kepada semua negara hendaklah diutamakan.

“Harapan Rakyat lebih tinggi daripada Pakatan Harapan yang berbeza ideologi dan tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan media parti tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan ahli parlimen Marang turut mengingatkan, Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan pelbagai agama hendaklah terus dipelihara di negara ini.

“Perlembagaan negara yang berkonsepkan Islam Agama Persekutuan, serta kebebasan berbagai agama mengikut sempadan undang-undang hendaklah terus dihormati.

“Ini kerana ia telah lama berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat majmuk dalam negara ini serta hak bumiputera dan kaum lain perlu ditangani dengan konsep adil untuk semua,” jelasnya lagi.

Selain itu, Pas berharap sistem federalisma yang diabaikan Barisan Nasional tidak lagi diulangi dalam pemerintahan kerajaan PH.