Keputusan Pakatan Harapan untuk tidak bekerjasama dengan Pas pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kekuatan pembangkang sebelum ini banyak bergantuk kepada Pas yang disifatkan lebih berstruktur berbanding parti lain dalam pakatan itu.

"Pas ada kekuatan, dan ada keramaian ahli. Pas juga ada struktur, bukan seperti parti-parti lain dalam pakatan harapan.

"Alhamdulillah, PAS sudah sedar, kita harap mereka boleh bekerjasama dengan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Program Santai Bersama Keluarga Putrajaya, hari ini.

Pada Khamis, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keputusan untuk tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Pas berhubung pembahagian kerusi di Selangor dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan itu selaras dengan persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Isnin lepas yang menolak sebarang kerjasama dengan Pas pada PRU14 .