Kenyataan Datuk Marzuki Yahya yang mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak membuat keputusan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) seumpama mimpi di siang hari.

Ketua Bersatu Wangsa Maju Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee menegaskan, tindakan bekas setiausaha agung parti itu juga merupakan satu cubaan menganggu gugat pentadbiran semasa yang ketika ini berdepan situasi sukar memerangi pandemik COVID-19.

“Usahlah sibuk berpolitik sedangkan pentadbiran semasa di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bertungkus lumus menstabilkan negara bersama-sama barisan Kabinet Perikatan Nasional (PN).

“Keyakinan rakyat mulai meningkat ketika barisan Kabinet di bawah pentadbiran Muhyiddin merangka pelbagai polisi dan dasar demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Ketua Penerangan Bersatu Dr Mohd Radzi Md Jidin hanya berpegang kepada perlembagaan parti dalam hal ini.

"Mengikut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi Baharu.

"Jadi, apa yang dilakukan Marzuki ini seperti bermimpi di siang hari,” kata Mohammed Ridzal.

BACA: Dakwaan MPT Bersatu tidak pernah buat keputusan keluar PH tidak benar - Radzi Jidin

BACA:
Setiausaha Agung Bersatu: Tun Mahathir bantah pemecatan Marzuki oleh Muhyiddin

BACA: Bersatu sudah keluar PH - Mohd Radzi

Sebelum ini, Marzuki berkata mesyuarat MPT pada 23 dan 24 Februari lalu membuat keputusan menolak peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi parti serta calon tunggal bagi jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, Bersatu tidak berhasrat untuk menyertai semula PH dan parti tidak pernah berbincang mengenai langkah itu.

Katanya, pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu iaitu untuk keluar dan tidak mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan PH.

Mohd Radzi turut memberi peringatan yang keahlian mereka boleh tergugur jika terbabit dengan aktiviti parti lain.

Dalam pada itu, Mohammed Ridzal berharap Muhyiddin bersama gabungan PN terus mengekalkan legasi pentadbiran negara yang berasaskan keprihatinan rakyat.

Pada 26 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu berkuatkuasa 18 Mac lalu, menggantikan Marzuki yang dipecat.