Kerajaan campuran: Lebih baik tumpu negeri yang boleh ditawan semula - Penganalisis

Kerajaan campuran: Lebih baik tumpu negeri yang boleh ditawan semula - Penganalisis
Pada 5 Mac lalu, Mohamad dan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengadakan sidang media mengumumkan kerjasama UMNO-Pas secara rasmi dengan fokus kepada penyatuan ummah di Menara Dato Onn, PWTC, Kuala Lumpur. Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Pas sepatutnya menumpukan kepada usaha membentuk kerajaan campuran di negeri-negeri yang boleh ditawan semula iaitu Perak dan Kedah.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perancangan itu dilihat lebih proaktif berbanding hanya bergantung harap kepada negeri yang sudah dimenangi.

"Negeri yang sepatutnya dijadikan fokus untuk membentuk kerajaan campuran iaitu kerjasama Pas dengan BN sebenarnya bukanlah empat negeri seperti mana yang disebut oleh kepimpinan UMNO iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang. 

"Kelantan dan Terengganu itu kita lihat kerusi (Pas) dia agak kuat. Namun, mereka sepatutnya menumpukan kepada negeri yang boleh mereka menangi iaitu Kedah dan Perak, bukan sedia ada tetapi lebih melihat ke hadapan," katanya semasa dihubungi Astro AWANI. 

BACA: Kerajaan Penyatuan Ummah: UMNO cadang kerajaan campuran di empat negeri
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu yang berkata, parti itu bercadang mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri ditadbir BN dan Pas.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, perancangan dua parti berkenaan bakal memberi cabaran besar kepada Pakatan Harapan (PH).


Ia berikutan jika ada mana-mana wakil rakyat yang lompat parti, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku pembubaran kerajaan negeri.

"Memang idea kerajaan campuran iaitu kerjasama UMNO dan Pas ini akan memang satu cabaran besar kepada PH khususnya di negeri yang kerusi mereka yang terlalu minimum sekali iaitu negeri Perak dan Kedah.

"Apa sahaja berlaku kepada satu atau dua kerusi di negeri tersebut, maka kerajaan negeri Perak dan Kedah boleh bubar," tambah Awang Azman.

BACA: Kerajaan Penyatuan Ummah: Pas terbuka, kami banyak pengalaman - Abdul Hadi

Justeru, situasi berkenaan menuntut PH memastikan kepentingan rakyat diutamakan dan tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakyat.

"Ini kerana sekiranya (ketidakpuasan hati rakyat) ini berlaku, maka sentimen kepada kepimpinan mereka terjejas dan mendorong ahli mereka untuk bertukar parti," katanya lagi.

BACA: Pas dan UMNO nafi satu logo pada PRU15

Pada 5 Mac lalu, UMNO dan Pas mengumumkan kerjasama secara rasmi yang akan memfokuskan kepada aspek penyatuan ummah.

Mohamad berkata kerjasama itu bukan gabungan UMNO dan Pas sebagai parti baharu tetapi atas dasar kebersamaan terhadap isu-isu yang mempunyai asas kepada kedua-dua parti.