Ketua Pemuda Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Rapelson Richard Hamit menyarankan agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membahagikan peruntukan yang sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira daripada parti pemerintah ataupun pembangkang.

"Pakatan Harapan (PH) tidak harus mengikut jejak langkah Barisan Nasional (BN) mentadbir Malaysia.

"Mereka haruslah membuktikan bahawa mereka adil dan saksama kepada semua wakil rakyat tanpa mengira daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang," katanya.

Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk Anggota Parlimen kerajaan, RM100,000 untuk Anggota Parlimen pembangkang serta peruntukan RM200,000 untuk pusat khidmat Anggota Parlimen akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Peruntukan untuk kawasan haruslah dibahagikan seadil-adilnya. Kita harus mencontohi sistem politik yang matang seperti di Eropah," katanya ketika dihubungi.

Begitu juga peruntukan pilihan raya, katanya, haruslah diberi kepada parti pembangkang dan haruslah dibahagikan secara sama rata.

-- BERNAMA