Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mempunyai keazaman politik untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti dalam memastikan tindakan melompat parti oleh sesetengah ahli politik dapat dicegah.

Demikian tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyatakan bahawa akta berkenaan hanya memerlukan majoriti mudah jika dibahaskan di Dewan Rakyat.

"Adakah Akta Anti Lompat Parti memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat?

"Jawapannya ialah tidak perlu, akta ini adalah satu akta biasa yang memerlukan kelulusan majoriti mudah bukannya kelulusan dua pertiga.

"Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai keazaman politik untuk menggubal Akta Anti Lompat Parti?

"Adakah disangsikan kesanggupan kerajaan PN untuk berbuat demikian kerana kerajaan PN itu sendiri ditegakkan atas perbuatan lompat-melompat parti," katanya.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda untuk mengubal akta berkenaan, sebaliknya mengikut Fasal (2)(C) Perkara 10 adalah infrastruktur bagi penggubalan Akta Anti Lompat Parti.

"Jadi apakah halangan sebenarnya penggubalan Akta Anti Lompat Parti? Jawapannya ialah kerana tiada keazaman politik dalam kalangan pemimpin parti politik yang menjadi kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berpendapat akta itu perlu digubal dalam membuktikan reformasi institusi parlimen.

"Kita perlu lihat isu lompat parti Akta Anti Lompat Parti, reformasi institusi Parlimen itu kita perlu bincang dalam konteks reformasi pilihanraya.

"Seperti disuarakan Yang Berhormat Padang Rengas (Datuk Seri Nazri Aziz) ada menyentuh keperluan itu, perbincangan dalam Ahli Parlimen sangat hangat ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju dalam dan luar dewan," katanya.

Malah, beliau turut mengesa kerajaan menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dapat membentangkan laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) untuk dibahaskan.

"Sekiranya perbincangan dan laporan ERC dibentangkan, dibahaskan dan diputuskan saya gesa Kota Bharu (Takiyuddin) yang juga Menteri JPM (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang) bersikap lebih terbuka dan membawa laporan tersebut untuk dibentang di Parlimen.

"Kita bahas dan bincang untuk putuskan. Malah, masa telah tiba sebahagian pendidikan sivik rakyat untuk memahami demokrasi dan bagaimana nak menambah baik kepercayaan demokrasi. Kita saksi di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah Barat yang mana pengundi parti-parti mula tidak mempercayai ahli politik dan sistem demokrasi kesan masyarakat sangat besar ini perlu diusahakan," jelas Fahmi.