Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan tidak akan melakukan pelantikan bagi jawatan penggawa dan penghulu di negeri Kelantan.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua PH negeri Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kerajaan mempunyai kaedah lain untuk menggantikan jawatan itu tidak lama lagi.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini menyatakan penyusunan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

"Ini merupakan satu usaha untuk mengurangkan ketegangan yang berlaku pada masa dahulu. Kerajaan negeri ada Tok Penghulu Mukim, kerajaan persekutuan ada Penyelia Pembangunan Mukim jadi kadang kala mereka ini akan bertembung.

"Jadi sekarang ini pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar tidak akan melantik penghulu di bawah persekutuan jadi ini boleh melunakkan susunan," jelasnya.

Wan Abdul Rahim berkata, mengikut perancangan akan ada saluran dan jawatan baharu diwujudkan nanti selain rakyat boleh berurusan terus dengan jabatan kerajaan dibawah petadbiran pusat.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Menabung Bersama i-Suri, di Dataran Kampung Jerek, Gua Musang, Kelantan.

Pada majlis itu juga turut menyaksikan penyerahan borang ahli baharu Parti Amanah yang disampaikan oleh empat ketua cawangan kepada Naib Ketua Amanah Kawasan, Azman Mustafa.