Kerajaan Persekutuan akan memenuhi janji-janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) apabila keadaan kewangan negara mengizinkan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata walaupun Kerajaan ingin melaksanakan semua janji 100 hari, namun demikian Kerajaan mempunyai tanggungjawab fiskal untuk memastikan hutang nasional terkawal.

"Kerajaan ini tidak akan mengulangi kesilapan Kerajaan terdahulu dengan menyebabkan masalah kewangan yang membawa negara ke arah muflis jika tidak dibendung," katanya pada sidang media di bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Walau bagaimanapun, tegasnya Kerajaan kekal komited untuk menunaikan janji dalam manifesto.

Apabila ditanya sekiranya janji-janji 100 hari yang digariskan tidak dapat ditunaikan dalam tenpoh yang ditetapkan, Guan Eng berkata ia bergantung kepada kewangan negara.

"Jika kewangan negara mengizinkan dalam masa 100 hari, kita akan laksanakan janji tersebut," jawab beliau.

Antara inisiatif yang disebut Guan Eng termasuk pemberian subsidi petrol bersasar, Skim Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah, peningkatan gaji minimum, penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sehingga pendapatan bulanan RM4,000 dan Skim Peduli Sihat.