Pertempuran politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya akan melebarkan lagi jurang perpecahan di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, situasi itu semakin melampau sehingga melanggar batas susila dan rukun perpaduan.

"Ia amat membimbangkan dan dalam situasi politik yang sihat, ia tidak sepatutnya berlaku.

"Sikap gelojoh sesetengah pemimpin politik Melayu daripada blok pembangkang menyerang peribadi pemimpin tertentu dengan melabelkan ungkapan kesat dan kasar amat dikesali.

"Mereka tergamak jadi petualang kerana kemaruk dan gilakan kuasa sehingga melanggar batas kesopanan," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Kecelaruan pembangkang terjadi selepas Tun Mahathir tubuh Pakatan Harapan - Mohd Amar

BACA:
Mahathir tidak perlu bangkitkan isu kafir - Rizal Mansor

Perbuatan itu katanya, hanya akan melebarkan lagi perpecahan di kalangan orang Melayu yang sememangnya sudah berpecah kepada beberapa kelompok.

"Secara jujurnya, kita kena melihat kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam, ke mana kita selepas ini?

"Oleh sebab itu, jika ada kumpulan politik berteraskan Melayu ingin bersatu atau menjalinkan kerjasama, ia tidak sepatutnya dihalang.

"Mereka yang sengaja menghalang penyatuan orang Melayu boleh diibaratkan sebagai petualang kepada kepentingan masa depan bangsa mereka sendiri," ujarnya.

Selain itu, kata Syed Ali, ada pihak tanpa segan silu menuduh individu tertentu sebagai kafir hanya disebabkan pertarungan politik untuk berebut kuasa.

"Mengapa ini hanya terjadi di kalangan masyarakat Melayu? Situasi pergeseran pegangan agama kini juga amat berbahaya.

"Akibatnya, pihak berkepentingan termasuk musuh Islam yang akan mengaut keuntungan jika pergeseran sesama orang Melayu berterusan berlaku," tegasnya.

Beliau juga kesal kerana ada sesetengah pihak sanggup mempergunakan agama untuk menghalalkan tuduhan mereka kepada pihak yang lain.

"Ada yang kata pemimpin itu kafir, pemimpin itu tidak Islamik. Ini semua tuduhan melampau dan amat tercela sifatnya.

"Bukan sesuatu yang sukar untuk melemparkan tuduhan bersifat keji dan fitnah walapun masyarakat umum tidak semestinya terpedaya dengan dakwaan tersebut.

"Bagi pemimpin politik berpengalaman dan pernah berada di tampuk kuasa, mereka sewajarnya menunjukkan teladan dan pekerti yang baik agar menjadi ikutan," jelasnya.

Katanya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, pertarungan politik adakalanya menjadi terkeji, tetapi seboleh-bolehnya tidak harus terkeluar daripada sifat pemimpin yang penuh berhemah dan bermoral.

"Politik juga boleh menjadi alat untuk membentuk tamadun manusia berakhlak mulia.

"Namun, sentimen kebencian telah mengatasi pemikiran sesetengah pemimpin politik untuk merebut kuasa," ujarnya.

Syed Ali seterusnya mengingatkan, PRU -14 merupakan gelanggang terbuka kepada mana-mana parti politik meraih kemenangan sepertimana dibenarkan oleh perlembagaan dan amalan demokrasi di negara ini.

"Jika parti politik pembangkang yakin hala tuju mereka mendapat sokongan rakyat, adalah tidak perlu untuk mereka menabur fitnah memburukkan pihak lain.

"Mereka (pembangkang) sepatutnya percaya kepada proses demokrasi kerana rakyat diberi kebebasan mutlak memilih atau menolak mana-mana calon tanpa sebarang paksaan," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali berkata ahli-ahli UMNO perlu menterjemahkan sokongan dan taat setia kepada kepimpinan dengan memperkasakan agenda perjuangan untuk berdepan PRU akan datang.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberikan bayangan PRU14 semakin dekat, justeru ahli-ahli UMNO perlu bersiap-siaga.

"Mana-mana individu yang tidak tersenarai sebagai calon BN diingatkan tidak kecewa dan mengambil sikap yang boleh memberi kesan negatif kepada parti.

"Akur, berlapang dada dan jauhkan rasa kecewa sehingga cenderung untuk bersifat seperti gunting dalam lipatan," tegasnya.