Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai cadangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) setelah menubuhkan parti politik baharu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau akan meneliti perkara tersebut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya tidak tahu apa dia kata. Saya kena kaji dahulu,” katanya pada majlis Hari Solidariti untuk Kashmir di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur pada Sabtu.

Turut hadir ialah Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) Datuk Abdul Ghani Shamsuddin dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid.

BACA: 'Hak beliau untuk tubuh parti baharu' - Anwar Ibrahim

BACA: Tun Mahathir umum akan tubuh parti Melayu baharu

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Langkawi tersebut enggan mengulas lanjut mengenai nama parti baharu yang akan ditubuhkannya.

Pada Jumaat, Anwar apabila diminta memberi komen berkaitan parti baharu yang akan ditubuhkan Dr Mahathir, beliau berkata PH bersedia mempertimbangkan kemasukan parti baharu tersebut dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, menurut presiden PKR setakat ini tidak ada lagi sebarang permintaan daripada bekas pengerusi Bersatu itu.