Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa membayangkan akan ada lebih banyak kerjasama parti itu dengan Pas di masa akan datang yang melibatkan pelbagai perkara dengan meletakkan asas agama sebagai kepentingan bersama.

Katanya, sebagai umat sesama Islam yang sentiasa mendokong perjuangan Islam, Pas katanya tidak pernah menolak sebarang kerjasama dengan UMNO sebaliknya ramai yang terkeliru dengan istilah kerjasama yang dijalinkan kedua-dua parti itu selama ini.

Katanya kerjasama yang dimaksudkan ialah berkonsepkan “Ta’wanun” bukannya bergabung kerana konsep berkenaan tidak boleh ditolak oleh Pas kerana parti itu berperinsip memperjuangkan Islam.

“Banyak terkeliru dengan istilah, banyak media buat laporan tidak tepat yang dimaksudkan Pas mengenai soal bergabung, bukan ia satu kerjasama. Pas tidak tolak kerjasama dengan kita dan kita juga bersedia bekerjasama dengan Pas dan ke depan akan ada lagi pelbagai bentuk kerjasama.

"Sebab kerjasama ini berkonsepkan Ta’ wanun, kita mesti dokong sesiapa yang memperjuangkan Islam. Tidak boleh hendak menolak kerjasama. Barang siapa menolak kerjasama maka dia menolak suruhan dalam agama, saya tidak fikir Pas tolak kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas program Siri Jelajah Perjuangan For All Parlimen Ketereh di sini malam tadi.

Setakat ini tiada batas kerjasama dengan Pas, walaupun pada ketika ini hanya melibatkan soal agama Islam dan pembangunan namun tidak mustahil kerjasama itu akan meluas pada masa akan datang.

Katanya jika dahulu Pas dan UMNO banyak berbeza pandangan dan bertelagah, namun keadaan itu sudah berubah pada masa sekarang.

Annuar juga menasihati pemimpin bawahan supaya tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah membina benteng pemisah antara Pas dan UMNO kerana istilah kerjasama antara dua parti ini luas menjangkau pelbagai perkara.