Belajar dari kegagalan pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, dua calon Barisan Nasional (BN) bagi PRU ke-14 berazam akan terus memperhebat kerjasama yang terjalin sekian lama agar dapat merampas kembali kerusi Parlimen Sandakan yang dimenangi DAP pada 2013.

Demikian hasrat disuarakan calon Parlimen Sandakan, Datuk Lim Ming Ho, dari Parti Liberal Demokratik (LDP), yang ditemui ketika sedang berkempen bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Chan Tzun Hei, dari Gerakan.

Kedua-dua calon BN berkenaan sedang bermesra dengan pengundi di Pasar Elopura, Batu 1.5 di sini, di mana terdapat satu papan tanda besar memaparkan wajah mereka bersebelahan premis itu.

Kerjasama antara jentera parti itu bukan senario baru, malah telah mula terjalin sejak kegagalan BN mempertahankan kerusi Parlimen itu pada PRU13.

"Pada PRU13, nasib tidak berpihak kepada kami di Parlimen Sandakan. Namun selepas itu, jentera kami tidak pernah berhenti.

"Dari 2013 sampai sekarang, jentera kami sudah turun padang dan bergerak untuk berdamping dengan masyarakat dan pengundi untuk menambah baik kelemahan kami pada pilihan raya umum lalu," kata Lim.

Pada 2013, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) ketika itu, Datuk Liew Vui Keong yang bertanding atas tiket BN, tewas kepada calon DAP, Wong Tien Fatt, dengan majoriti 1,088 undi.

Sejak itu, ujar Lim, kesemua jentera parti komponen BN di Sandakan telah bekerjasama termasuk daripada UMNO, MCA, MIC, LDP, Gerakan, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Papan iklan calon Barisan Nasional bagi Parlimen Sandakan dan DUN Elopura. - Astro AWANI/Tan Su Lin
"Kita nampak silaturahim antara tujuh parti ini amat rapat. Pada PRU kali ini, jentera kami bergerak secara komponen parti.

"Susulan itu, saya menerima banyak maklum balas yang positif dari para pengundi," katanya.

Kalah pada pilihan raya lalu dalam pertandingan tiga penjuru, beliau melihat peluang cerah dalam pertandingan satu-lawan-satu di kerusi Parlimen itu pada PRU14 kali ini.

"Di Parlimen Sandakan ada lebih kurang 40,000 pengundi. Pada PRU12 dan PRU13, peratusan keluar mengundi boleh cecah 70 peratus. Jadi, 70 peratus bermakna kira-kira 30,000 akan keluar mengundi.

"Memandangkan pertandingan kali ini adalah satu-lawan-satu, kita hanya perlu lebih sedikit 15,000 untuk menang," kata Lim, sambil menambah beliau bagaimanapun menghormati keputusan pengundi sekiranya mereka memilih untuk menyokong parti lawan.

PRU14 pada 9 Mei ini menyaksikan Lee berdepan penyandang Wong, yang juga Pengerusi DAP Sabah.

Susulan kekalahan calon BN di Sandakan pada PRU13, Liew baru-baru ini membuat pengumuman rasmi telah meninggalkan parti dan beralih ke Parti Warisan Sabah (Warisan).

Mengulas dakwaan wujud kira-kira 200 ahli LDP yang turut mengikut jejak langkah Liew, Lim menafikan perkara itu.

"Dalam suratkhabar disebut 200 ahli LDP yang keluar parti, tetapi kami tidak menerima pun sebarang surat peletakan jawatan rasmi oleh setiausaha agung parti," katanya lagi.