Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan perubahan landskap politik di beberapa kawasan di negeri ini, yang disifatkan kubu kuat Barisan Nasional (BN), apabila kerusi selamat jatuh ke tangan Pakatan Harapan (Harapan).

Di Kepala Batas, hanya kerusi Parlimen itu yang berjaya dipertahankan BN apabila penyandangnya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menewaskan dua pencabarnya dengan majoriti 4,736.

Reezal mendapat 22,459 undi berbanding Dr Zaidi Zakaria dari PKR dan Siti Mastura Muhammad dari PAS yang masing-masing memperoleh 17,723 dan 12,120 undi.

Sementara tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bertam, Pinang Tunggal dan Penaga, turut beralih ke tangan Harapan apabila gagal dipertahankan ketiga-tiga penyandangnya.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus P041 Parlimen Kepala Batas, Hakmal Effendi Ishak, malam tadi.

Reezal ketika ditemui selepas pengumuman itu berkata, beliau menerima semua keputusan dengan hati terbuka dan menghormati keputusan yang telah dibuat rakyat.

"Saya menerima keputusan ini dengan perasaan bercampur, sebab kita turun tawarkan khidmat PRU ini dalam satu pasukan. Kebetulan, Parlimen Kepala Batas yang kekalkan muka sama.

"Saya anggap ini keputusan rakyat. Dan di kala kita jalankan proses demokrasi, PRU ini kita raikan sebagai pesta demokrasi. Kita terima dengan hati terbuka.

"Saya terima keputusan ini dengan rasa insaf, saya punya tanggungjawab, diberi kepercayaan untuk terus menggalas amanah sebagai wakil rakyat mereka di Parlimen," katanya.