Kesepakatan yang ada di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno adalah kaedah yang terbaik dalam membela nasib rakyat serta menentukan hala tuju negara.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata walaupun pembangkang cuba meniru formula yang diguna pakai BN, namun gagal dilaksanakan berikutan sikap angkuh di kalangan pemimpin mereka.

Katanya, suasana berantakan di kalangan parti pembangkang membuktikan mereka secara berterusan hanya memperjuangkan politik kebencian secara membuta tuli.

“Wadah yang ada kepada Umno dan BN ini masih lagi merupakan wadah yang terbaik yang tidak boleh ditiru. Pembangkang yang cuba mengikuti jejak langkah kita jelas hari ini tidak berjaya.

"Tetapi kelemahan mereka tidak bermakna kita kuat dan kita kena terus pastikan bahawa kelebihan yang ada kepada kita, iaitu kesatuan diletakkan perjuangan sebagai keutamaan, membela nasib rakyat, mendekati rakyat. Semua itu merupakan sesuatu yang kita sudah warisi,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dalam pada itu, jentera Umno di semua peringkat di Terengganu katanya perlu bergerak seiring sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti.

Menurutnya, calon yang berwibawa serta gerakan jentera yang sistematik dan padu mampu mengukuhkan kekuatan Umno di negeri itu.

Sementara itu Hishammuddin berkata, walaupun pembangkang bercakaran dan Parti Pribumi Bersatu pimpinan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin tidak mendapat sambutan, namun Umno perlu terus berwaspada.

"Memang sekarang ini, jumlahnya hanya 290 orang sahaja di seluruh Terengganu ... sekiranya Umno Terengganu tidak bersatu padu, tidak mustahil rakyat akan bosan dan akan pergi kepada parti-parti baharu.

"Ini pengajaran yang berlaku dahulu dan ini perlu menginsafkan untuk Umno dan BN Terengganu," katanya.

Umno Terengganu katanya sudah melalui zaman kegelapan selepas tewas pada tahun 1999 untuk dijadikan pengajaran sepanjang hayat.