Kestabilan ekonomi dan politik negara dalam suku pertama tahun ini menjadi faktor indikasi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan sebelum 14 Julai ini.

Penganalisis politik Datuk M. Periasamy menjelaskan, faktor itu menjadi keyakinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengumumkan tarikh PRU14 dalam masa terdekat.

Selain itu jelasnya, hubungan baik antara kaum dan ketiadaan isu-isu sensitif menimbulkan suasana terbaik dalam kalangan rakyat yang membantu Najib mengumumkan tarikh PRU14.

"Misalnya, nilai ringgit semakin meningkat, eksport negara turut meningkat sebanyak 20 peratus dan rizab antarabangsa juga meningkat sebanyak RM424 bilion.

"Dalam pada itu, pelaburan asing langsung turut mencatat peningkatan sebanyak RM546.6 bilion dan institusi kewangan dunia seperi IMF dan Bank Dunia turut mengakui malah menyakini pertumbuhan ekonomi negara.

"Malahan unjuran KDNK Malaysia juga mampu meningkat dan mencecah enam peratus sekali gus memberi indikasi jelas kaum Cina akan memberi sokongan kepada BN seperti pada PRU10 pada tahun 1999 yang memberi kemenangan kepada BN sebanyak hampir 77 peratus kerusi Parlimen," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

BACA: PM Najib beri indikasi PRU14 sebelum 14 Julai

BACA:
Saya harap, jangan lupa saya bila PRU14 - PM Najib

Periasamy mengulas bayangan Najib bahawa PRU14 akan diadakan sebelum musim haji yang dijadual pada Julai depan.

Tarikh luput mandat kerajaan persekutuan diterajui Barisan Nasional (BN) pada 24 Jun 2018 dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh luput itu.

Dalam pada itu kata Periasamy yang juga Pensyarah Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, beberapa tarikh perayaan kaum Cina dan Melayu turut memberi faktor kepada tarikh PRU14.

"Ia memandangkan kaum Cina akan menyambut Tahun Baru Cina pada pertengahan Februari dan umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Jun.

"Parlimen pula akan bersidang pada 5 Mac 2018, kemungkinan besar Parlimen ke-13 akan dibubarkan pada pertengahan bulan Mac.

"Sementara penamaan calon dijangka pada awal bulan Mei dan hari mengundi PRU14 mungkin akan diadakan pada bulan Mei," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan jelasnya, pengundi India kini dilihat amat berpuas hati dengan pentadbiran Najib kerana banyak membantu pembangunan kaum itu sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada tahun 2009.

"Antara sumbangan yang mengembirakan kaum India adalah pelancaran Blue Print Pembangunan India termasuk peluang pelaburan khas bagi kaum India AS1M bernilai RM 1.5 bilion," katanya.