Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sah sebagai Perdana Menteri kelapan dan tumpuan pentadbiran kerajaan kini perlu terarah kepada memastikan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai langkah harus diambil khususnya dalam memulihkan ekonomi yang terjejas dan ini memerlukan sokongan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kita harus bersatu padu melupakan perbezaan pendapat dalam kalangan kita. Kita kembalikan ekonomi yang telah terjejas untuk kita membela rakyat dan jangan lupa kumpulan miskin sama ada di luar bandar dan dalam bandar. Miskin bandar harus diselesaikan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri di Istana Negara.

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga perlu melihat untuk mengembalikan institusi agama Islam ke landasannya khususnya syarikat-syarikat di bawah Tabung Haji.

"Saya tidak rasis dalam perkara ini kerana ia termaktub dalam dasar negara kita dan kita akan betulkan semua keadaan itu.

"Kita tidak berjanji bulan dan bintang tetapi saya fikir elok kepimpinan baharu di mana Tan Sri Muhyiddin lebih terbuka dan lebih berpijak di bumi nyata dan kami parti-parti yang menyokong beliau akan membantu apa sahaja perancangan terbaik terutamanya menentukan polisi fiskal dan juga sistem perbankan yang menjejaskan ekonomi negara kita," katanya.

Ditanya sama ada satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan pemilihan Kabinet baharu, Ahmad Zahid berkata beliau belum mendapat sebarang indikasi mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada budi bicara Perdana Menteri untuk menentukannya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan keyakinan beliau bahawa rakyat akan menerima baik pelantikan Muhyiddin dalam mentadbir negara bagi memastikan Malaysia terus cemerlang.

"Krisis politik negara ini telah pun dapat diselesaikan dengan berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan ini satu perkara yang amat positif dan saya yakin rakyat akan menerima baik penyelesaian yang berteraskan kepada perlembagaan," katanya.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya Muhyiddin mampu menyelesaikan masalah yang timbul dan memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap pentadbiran baharu.

"Bagi saya yang lebih penting adalah negara kita perlu aman dan stabil. Saya harap tiada lagi perkara yang boleh menggugat keamanan negara," katanya.

Mengenai usaha untuk mengadakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin, Ismail Sabri berkata ia merupakan hak ahli Parlimen untuk mengadakannya.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula berkata pihaknya akan memberi sokongan padu kepada kepimpinan Muhyiddin bagi kepentingan rakyat dan negara.

Wee berharap kemelut politik dapat dipulihkan agar pentadbiran negara majmuk ini dapat diuruskan dengan adil dan saksama.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan menggesa semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda memperkasa negara.

"Fokus kepada pembangunan negara dengan menjalankan program bagi meningkatkan ekonomi kita," katanya.

-- BERNAMA