Presiden PKR baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu menangguhkan proses meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sekiranya perkara itu boleh dimanipulasi untuk menimbulkan ketegangan kaum.

Walaupun PKR merupakan parti yang menjamin keadilan untuk semua masyarakat, Anwar berkata, apa jua yang termaktub dalam dokumen Perlembagaan Persekutuan harus diberi keutamaan.

“Kita tentang kezaliman, dan kita adalah parti pelbagai kaum dan agama. Tapi kita juga terima Islam itu agama Persekutan, hak Melayu dan Bumiputera, kedaulatan Raja-Raja Melayu, serta hak Bahasa Melayu,” katanya ketika berucap menangguhkan Kongres Nasional Keadilan ke-13, di sini hari ini.

Apa yang menjadi keutamaan buat masa kini, jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, ialah bagi Kerajaan Persekutuan mencari jalan penyelesaian dalam isu-isu yang lebih mendesak, seperti kedudukan ekonomi negara, serta beban kos sara hidup tinggi di kalangan rakyat.

Sementara itu, dalam sidang media, Anwar mendakwa Pas dan UMNO mempolitikkan isu ICERD.

Beliau menegaskan, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan tindakan Pas dan UMNO mengadakan perhimpunan bersama membantah ratifikasi ICERD

Anwar menjelaskan, kebimbangannya ialah kepada rakyat biasa yang keliru sama ada ratifikasi ICERD akan menjejaskan kepentingan dan hak tertentu mereka dalam Perlembagaan.

“Ya, memang buat masa sekarang UMNO dan Pas cuma mengeksploitasi isu ini.

“Tetapi kenapa kita perlu diganggu dengan isu tersebut. Tumpuan kita adalah untuk mendedahkan kepincangan dulu," jelasnya.

Sebelum ini, kedua-dua pemimpin tertinggi Pas dan Umno berkata, akan mengadakan perhimpunan bersama di mana satu kutipan derma akan dilancarkan bagi membantu membiayai bantahan tersebut.

BACA: Lebih 30,000 sertai Himpunan Perpaduan Ummah bantah ICERD di Kampung Gajah