Pas Perak hari ini mengumumkan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calon parti itu bagi bertanding kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 bulan depan.

Pengumuman Najihatussalehah yang berusia 50 tahun itu dilakukan di hadapan ratusan penyokong parti di padang berhampiran Markas PAS Kuala Kangsar oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Najihatussalehah merupakan lulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Malaya (1992) dan dilahirkan di Pasir Kubu, Pulau Tiga Kiri.

Sebelum ini, beliau pernah bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri N32 Belanja pada Pilihan Raya ke-13 namun tewas kepada Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria yang kini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Agama Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak.

Menghabiskan persekolahan menengahnya di SM Raja Perempuan Taayah,Ipoh, Dr Najihatussalehah juga mempunyai sebuah Klinik Najiha di Bota yang dibuka pada tahun 1997.

Selain itu, beliau juga berpengalaman sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Changkat Melintang dan Klinik Hidayah di Bagan Serai.

Ibu kepada sembilan anak itu mula terlibat dalam dunia politik sejak tahun 1997 apabila menyandang jawatan Ketua Dewan Muslimat Pas Perak dan sebagai Anggota Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Pusat pada tahun 2007.

Antara pemimpin PAS yang hadir dalam majlis pengumuman itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mustafa Ali yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Pas Kuala Kangsar dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria merangkap AJK Pas Pusat.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan nahas helikopter yang melibatkan bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun, manakala penamaan calon pada 5 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar melibatkan pengundi biasa (32,632), pengundi awal (312) dan pemilih tidak hadir luar negara (lima).

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengumumkan nama calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Kuala Kangsar pada petang esok, manakala Parti Amanah Negara akan mengumumkan calonnya pada 1 Jun.