Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurainie Haziqah Shafii mengumumkan melepaskan jawatan dan keluar daripada parti itu.

Dalam satu kenyataan, Nurainie berkata, keputusan itu dibuat selepas tidak lagi yakin kepada idealisme perjuangan serta hala tuju parti tersebut.

Serentak itu, Nurainie turut memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

”Keputusan ini diambil atas prinsip bahawa jawatan ini adalah atas kapasiti saya selaku anggota Parti Keadilan Rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Nurainie merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Nurainie berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara melalui platform sedia ada serta memberi sepenuh komitmen terhadap usaha membantu golongan yang memerlukan melalui kapasitinya sebagai seorang peguam.

”Prinsip ini telah saya junjung sejak saya menjadi seorang aktivis bermula di universiti dan kemudian menubuhkan pelbagai platform NGO yang aktif sehingga kini,” ujarnya.