Kewujudan kem memastikan kesinambungan dalam pegangan jawatan tertentu selepas calon-calon berkenaan dipilih untuk memimpin parti.

Pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia tidak dapat dielakkan dan secara tidak langsung mana-mana calon akan menyertai kem A atau B dalam mana-mana pemilihan parti.

"Jadi kewujudan kem ini adalah sesuatu yang normal dalam parti politik khususnya dalam pemilihan pucuk pemilihan parti. Ia disebabkan ada keinginan untuk membentuk dasar, idea atau menunjukkan sikap dan pendirian sesuatu isu.

"Kedua, ia berlaku secara sementara, selepas berakhirnya pemilihan maka berakhirlah kewujudan kem tersebut. Kem ini mempunyai kepentingan dan signifikan tertentu untuk memastikan kumpulannya itu memenangi sesuatu pertandingan itu dengan lebih sistematik dan dapat memastikan terdapat kesinambungan dalam pegangan jawatan tertentu.

"Ini kita dapat lihat dalam pemilihan PKR kali ini, pastikan tidak wujud kem dalam PKR itu memang sukar sebab ia benar-benar berlaku dalam konteks pemilihan ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BACA: Pemilihan PKR: "Saya penyandang, tak menentang sesiapa" - Azmin

TONTON:
Azmin atau Rafizi? Ini kata Anwar

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan pasukannya yang akan bertanding pada pemilihan PKR antaranya Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; dan Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Sementara Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas dakwaan ada kem-kem yang sedang sengit bersaing dalam parti itu.

Katanya, tanggapan parti itu terbahagi kepada kem-kem dibawah pemimpin tertentu adalah tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan wujud kem Rafizi dan Azmin menjelang pemilihan parti.

Katanya, setakat ini hanya ada satu kem dalam PKR selain menjelaskan, kehadiran muka baru dan lama dalam pemilihan PKR penting bagi memastikan kesinambungan di dalam parti berterusan.