Barisan Nasional (BN) Selangor mengalu-alukan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai gabungan tiga lagi bekas menteri besar daripada parti itu yang bertekad menawan kembali negeri berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Bekas menteri besar yang kembali menyertai BN ialah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib manakala dua lagi yang dijangka berganding bahu ialah Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo.

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata sekiranya Abdul Khalid sudi bersama BN, keputusan itu boleh menyokong usaha pihaknya menunjukkan kepada rakyat mengenai tatacara dan perancangan yang pernah dilaksanakan tiga bekas menteri besar semasa membangunkan Selangor.

"Sebagai bekas menteri besar, mereka pasti akan menggunakan landasan ini untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat tentang bagaimana dasar yang dirangka pada zaman pentadbiran mereka dahulu adalah landasan kepada kemajuan Selangor kini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Gelombang Tani Nasional peringkat Selangor, di sini hari ini.

Ditanya sama ada BN Selangor pernah berbincang dengan Abdul Khalid berhubung gabungan tersebut, Noh enggan mengulas lanjut sebaliknya hanya berkata mengalu-alukan penglibatan Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang itu.

Abdul Khalid menyertai UMNO sekitar 90-an sebelum melompat ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekitar tahun 2000.

Beliau merupakan menteri besar Selangor ke-14 dan yang pertama dilantik daripada gabungan PAS-DAP-PKR selepas pakatan tersebut menawan negeri berkenaan pada PRU-12.

Bagaimanapun, Abdul Khalid yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak, dipecat selepas enam tahun meneraju tampuk pentadbiran negeri termaju berkenaan ekoran pergeseran dengan pemimpin pembangkang lain dan kini bergerak sebagai anggota Bebas.

-- BERNAMA