Kit Siang akui akan hilang kerusi Iskandar Puteri jika pilihan raya sekarang

Kit Siang akui akan hilang kerusi Iskandar Puteri jika pilihan raya sekarang
Lim Kit Siang akui DAP akan tewas di kerusi Parlimen Iskandar Puteri jika pilihan raya diadakan sekarang. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Parti DAP besar kemungkinan akan tewas di kerusi Parlimen Iskandar Puteri dan mungkin juga kehilangan sehingga 40 peratus undi sekiranya satu  pilihan raya umum diadakan sekarang.

Jelas penasihat parti itu Lim Kit Siang, kehilangan jumlah undi itu digambarkan menerusi kemerosotan undi yang dihadapi parti pemerintah, Pakatah Hartapan (PH) ketika ini.

"Kita perlukan masa untuk rakyat menyedari yang DAP tidak pernah mengkhianati mereka mahupun melupakan matlamat bersama Malaysia Baharu yang berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, dan integriti," katanya dalam satu sesi taklimat berkenaan perkara isu tulisan Jawi pada Sabtu.

Transkrip ucapan tersebut diemelkan ke Astro AWANI pada Ahad.

Secara sinis, Kit Siang juga 'memuji' usaha yang beliau sifatkan sebagai 'memerangkap rakyat Malaysia dalam suatu keadaan di mana orang Melayu berasa terancam, orang Cina berasa terancam, dan begitu juga dengan orang India, Kadazan, dan Iban'.

Kit Siang juga mengakui sudah menjadi seorang individu yang ditakuti dan dikeji oleh orang Melayu dan dituduh sebagai pengkhianat bahasa, pendidikan, dan budaya orang Cina demi kepentingan orang Melayu.

"Terdapat laporan media yang menuduh saya sebagai seorang penyokong kuat untuk mengenalkan tulisan jawi ataupun seni khat di SJK Cina.

"Saya masih berpegang kepada apa yang saya katakan pada tahun 1984, supaya tiada paksaan dalam pengajaran tulisan jawi," katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

DAP akan kalah di kawasan parlimen Iskandar Puteri dan kehilangan antara 30 hingga 40 peratus undi di seluruh negara jika piliharanraya umum diadakan sekarang. 
Inilah tahap salah faham penyokong DAP yang terhadap DAP yang kini berada di dalam kerajaan Pakatan Harapan. 

Kami memerlukan masa bagi menjelaskan kepada penyokong kami dan rakyat Malaysia yang DAP tidak mengkhianati dan kami masih belum melupakan matlamat bersama Malaysia Baharu. 

Jika benarlah DAP telah mengkhianati perjuangan kami selama ini, adalah mustahil untuk kami mendapatkan semula sokongan rakyat, walaupun selama mana pun masa yang diberi. Malah, sokongan kepada kami hanya akan menjadi lebih teruk.

Setelah berjuang dan berkorban selama berdekad lamanya, DAP tidak akan sama sekali mengkhianati rakyat Malaysia, prinsip-prinsip kami, dan matlamat kami untuk membina sebuah Malaysia yang baharu yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, dan integriti. Oleh itu, para pemimpin DAP haruslah berdaya tahan, bersabar, dan terus komited kepada agenda Malaysia Baharu.

Saya mengikuti perkembangan kontroversi isu tulisan jawi ini daripada Salem di Tamil Nadu sejak hari Ahad yang lepas dan saya perhatikan terdapat tiga perkembangan utama:

• Pembelajaran tulisan jawi tidaklah diwajibkan untuk para pelajar di SJK Cina dan Tamil dan pihak kementerian tidak akan memaksa pengajaran ataupun mengadakan peperiksaan untuk tulisan jawi.
• Rancangan untuk menyertakan elemen pengenalan tulisan jawi dalam kurikulum Darjah 4 pada tahun 2020 telah diputuskan oleh kerajaan Barisan Nasional di antara tahun 2014-2016.
• Kenyataan Kementerian Pendidikan yang berbunyi “Walaupun pengenalan seni khat akan diteruskan, pihak Kementerian sentiasa terbuka untuk menerima pendapat daripada pelbagai pihak bagi memastikan terdapat satu keputusan yang adil untuk semua” menunjukkan kesudian pihak Kementerian untuk mendengar pendapat semua pihak yang terlibat. 

Proses pembinaan negara berada dalam satu keadaan yang tidak menentu dalam 15 bulan yang mendatang sejak daripada Pilihanraya Umum yang ke-14 yang lalu.

Mungkin kita boleh memberikan pujian kepada sesetengah pihak yang telah dengan jayanya, memerangkap rakyat Malaysia dalam suatu keadaan di mana orang Melayu berasa terancam, orang Cina berasa terancam, dan begitu juga dengan orang India, Kadazan, dan Iban. 

Semua komuniti kini merasakan seakan-akan kewujudan budaya dan etnik mereka diancam.

Namun begitu, siapakah yang menimbulkan perasaan ini?

Saya tidak pernah terbayang untuk mencapai status yang belum pernah dicapai oleh mana-mana rakyat Malaysia sebelum ini -- ditakuti dan dikeji oleh orang Melayu kerana dituduh menjadi ancaman terhadap hak-hak istimewa orang Melayu, dan pada yang sama dituduh sebagai pengkhianat bahasa, pendidikan, dan budaya orang Cina demi kepentingan orang Melayu.

Adakah mungkin untuk seseorang itu untuk menjalankan peranan berikut secara serentak -- berusaha menghapuskan hak-hak orang Melayu demi kepentingan orang Cina dan pada yang sama mengkhianati budaya dan bahasa orang Cina demi kepentingan orang Melayu?

Saya telah dituduh dengan pelbagai agenda untuk menghapuskan budaya dan hak-hak orang Melayu, antaranya;

• Menjadikan Malaysia sebuah republik
• Islam bukan lagi agama rasmi
• Menghapuskan sistem raja berperlembagaan
• Mengharamkan Azan
• Membubarkan Regimen Askar Melayu
• Membubarkan Majlis Agama Islam Negeri
• Membubarkan Mahkamah Syariah
• Menggunakan wang zakat untuk bukan Islam

Kepalsuan perkara ini tidaklah penting lagi memandang tukang propaganda dan laskar siber yang menyebarkan fitnah-fitnah ini secara terus-menerus menipu demi menimbulkan syakwasangka, kebencian, dan ketakutan antara satu sama lain.

Sekarang saya pula dituduh sebagai mengkhianati hak-hak dan kepentingan orang Cina. 

Saya dituduh sebagai seorang yang mengawal segala tingkah laku Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan dalam masa yang sama dituduh sebagai seorang pak turut Mahathir.

Semua tuduhan ini sememangnya tidak berasas sama sekali, dan saya yakin rakyat semua akan menyedari keanehan tuduhan ini apabila mereka kembali kepada realiti yang rasional.

Saya baru menerima satu gambar di media sosial yang menunjukkan gambar saya dengan tulisan “KIT SIANG DIHALAU PENDUDUK KAWASAN -- ANDA HANYA AKAN MATI SEBAGAI HERO ATAUPUN HIDUP CUKUP LAMA UNTUK MELIHAT DIRI SENDIRI BERUBAH MENJADI ORANG JAHAT”.

Saya bukanlah orang jahat, dan saya juga tidak berhasrat untuk menjadi hero. Saya hanya mahu menjadi seorang rakyat Malaysia yang patriotik yang berhasrat untuk melihat Malaysia menjadi negara yang lebih baik untuk semua rakyatnya tanpa mengira kaum, agama, mahupun kawasan. 

Saya percaya terhadap satu Malaysia yang Baharu yang akan menjadi sebuah negara yang terulung di persada dunia dalam semua bidang yang diceburi manusia dengan pertembungan pelbagai budaya dan ketamadunan yang hebat di Malaysia.

Terdapat laporan media yang menuduh saya sebagai seorang penyokong kuat untuk mengenalkan tulisan jawi ataupun seni khat di SJK Cina dan Tamil. 

Perkara ini tidak benar sama sekali, memandangkan perkara ini telah datang secara mengejut kepada semua seorang sebagai satu legasi peninggalan kerajaan sebelum ini. 

Saya masih berpegang kepada apa yang saya katakan pada tahun 1984, supaya tiada paksaan dalam pengajaran tulisan jawi. 

Lawatan saya ke India baru-baru ini telah menguatkan harapan saya untuk rakyat Malaysia membangunkan satu keyakinan diri yang baharu bagi melawan momokan yang menarik kita ke belakang, bagi membolehkan Malaysia untuk berjaya dalam pelbagai bidang. 

Satu semakan semula terhadap Manifesto PRU14 Pakatan Harapan boleh dijalankan sebagai satu langkah permulaan terhadap cita-cita ini. 

Kita mestilah berganding tenaga untuk membersihkan nama negara tercinta ini daripada reputasi sebagai sebuah kleptokrasi global dan pada yang sama berusaha untuk menjadi sebuah negara terulung, bermula dengan reformasi pendidikan dan institusi bagi memastikan Dasar Ekonomi Baharu dilaksanakan berasaskan dasar mengikut keperluan dan bukanlah semata-mata mengikut kaum, seperti yang dipersetujui oleh tokoh-tokoh negara seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tag: Lim Kit Siang, DAP, Astro Awani, Astro, Jawi, Media, Parlimen, pilihan raya, hilang, Melayu, Cina, pendidikan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.