Pemimpin DAP Lim Kit Siang digesa menjelaskan pendirian Pakatan Harapan berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan bangsa Bugis pada perhimpunan pembangkang baru-baru ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata oleh kerana Dr Mahathir ialah pengerusi Pakatan, berdiam diri bukan satu pilihan kerana rakyat perlu tahu akan pendirian Kit Siang berhubung perkara itu.

"Tindakan Kit Siang berdiam diri boleh dianggap sebagai bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa bangsa Bugis ialah lanun dan terdapat lebih daripada seorang Raja yang berasal daripada keturunan Bugis," katanya dalam catatan di blog beliau.

Menteri itu menegaskan sementara Barisan Nasional mengutuk kenyataan Dr Mahathir yang menghina bangsa Bugis itu, pendirian Pakatan Harapan dilihat tidak jelas.

''Oleh itu Kit Siang perlu tampil dan menjelaskan pendirian Pakatan,'' kata Salleh.

Beberapa pihak yang mewakili masyarakat Bugis di Malaysia sebelum ini turut mendesak supaya Dr Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang dibuatnya pada perhimpunan parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Okt lepas.

Dewan Diraja Selangor dalam kenyataan pada Khamis lepas berpandangan siasatan serta tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa juga undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap Dr Mahathir.

-- BERNAMA