Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin, menganggap prinsip demokrasi terus dalam proses pemilihan parti itu sebagai sesuatu yang tidak sempurna, dan bukan hanya kerana kaedah e-voting semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya itu berkata, prinsip demokrasi terus yang diamalkan, harus dilihat dan dinilai semula sekiranya ingin diguna pakai kembali dalam proses pemilihan seterusnya.

“Kaedah itu tidak menggambarkan prinsip demokrasi yang sering kita pertahankan dalam parti ini. Kerana akhirnya jumlah keahlian parti kita akan bertambah.

“Dan kita harus sedia maklum parti ini semakin berkembang. Sekarang kita ada sekitar 850,000 ahli, dan kita telah tunjuk bahawa kita tidak mampu untuk mengurus pemilihan ini dengan sempurna, kerana ia memerlukan sumber yang besar, dan sepanjang sembilan minggu ini, tahap kebimbangan sangat tinggi,” katanya dalam sidang media Kepimpinan AMK di sini, pada Jumaat.

Dr Afif berkata, amat penting bagi mereka melihat bagaimana ia menguruskan pemilihan bagi sebilangan besar ahli akar umbi, apatah lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri, keahlian mungkin bertambah melebihi 1.6 juta orang.

“Siapa sahaja yang bakal menerajui parti ini, saya rasa, perlu bagi mereka melihat perkara ini dengan mendalam. Kita perlu membuat reform dalam parti sendiri bagi membolehkan ia bergerak ke hadapan, dan kekal relevan dalam arena politik Malaysia,” katanya.

Mengenai keputusan siapa bakal memenangi jawatan Ketua AMK, yang hanya akan diumumkan petang ini, beliau berkata, beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat untuk keputusan rasmi.

Dalam pemilihan kali ini, Dr Afif bersaing dengan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohamad Nasir, dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi.