Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) memerlukan lebih ramai karakter pemimpin seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menarik minat golongan muda menyertai parti memperjuangkan ketuanan Melayu.

Ketua Armada Lumut, Akmal Maradzi berkata ia sekali gus dapat menjuarai sayap itu dalam isu membabitkan golongan belia di negara ini.

"Kehadiran generasi pelapis kepimpinan baharu Armada pastinya akan membuka peluang kepada idea-idea segar dalam mencorakkan polisi kerajaan dan masa depan negara yang lebih maju dan terpelihara.

“Armada perlu diberi saluran yang luas untuk menyampaikan hasrat, sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta dan badan bukan kerajaan yang mampu menjadi pelapis dan menerajui kerajaan dengan baik sekiranya diberi pendedahan kepada struktur serta urus tadbir kerajaan," katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

BACA: Syed Saddiq akan cadang perbahasan dibuka kepada media

BACA: Bersatu jangan cuba jadi UMNO - Syed Saddiq


Tegasnya, Armada tidak kemaruk jawatan namun cukup dengan pengiktirafan melalui lantikan dalam mana-mana jawatankuasa kerja bagi membantu melicinkan proses pentadbiran kerajaan.

Katanya, bagi mencapai tujuan tersebut, Armada perlu diperkuat dengan mengetengahkan bakat-bakat baharu menyertai sayap itu baik dari peringkat desa hingga di luar negara.

"Armada memerlukan mereka yang betul-betul bekerja keras dan bersedia berperang apabila diperlukan termasuk di dalam alam maya bagi mencapai matlamat perjuangan, sekali gus terus relevan kepada masyarakat.

"Hari ini juga kita perlu melahirkan lebih ramai Syed Saddiq sebagai pelapis masa depan demi kepimpinan.

"Jangan berakhirnya Syed Saddiq, tiada lagi pengganti yang setanding atau lebih baik daripadanya. Kita perlu lahirkan 1,000 lagi Syed Saddiq," ujarnya.