Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong hari ini tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan #KitaLawan di ibu negara pada 7 Mac lepas.

Beliau yang tiba di balai polis berkenaan kira-kira pukul 10.40 pagi, diiringi dua peguamnya, Nicole Tan Lee Koon dan Wong Kah Woh bersama kira-kira 20 penyokong.

Teo berkata beliau menerima panggilan daripada polis semalam untuk memberi kerjasama dalam kes itu.

"Semalam saya sibuk dengan urusan kerja. Sebab itu saya datang hari ini," katanya kepada pemberita di perkarangan IPD Dang Wangi di sini.

Sebelum ini, empat orang telah disoal siasat berhubung kes berkenaan iaitu Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya Saifullah Zulkifli, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Bendahari Pemuda PAS Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Mereka turut ditahan reman dengan Nik Nazmi ditahan Sabtu lepas selepas perhimpunan #KitaLawan dan direman sehingga Selasa 10 Mac, Saifullah ditahan Sabtu lepas ditahan reman sehari, Rafizi ditahan Selasa lepas (10 Mac) dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama, manakala Mohd Fakhrulrazi ditahan pada 11 Mac, ditahan direman sehari.

Perhimpunan itu yang tidak dapat permit polis diadakan 7 Mac lepas di hadapan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini untuk menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Kira-kira 3,000 penyokong penasihat PKR itu berarak di sekitar ibu kota di tiga kawasan iaitu Pasar Seni, Masjid Jamek dan Ibu Pejabat PAS di sini sebelum bertemu di kompleks beli-belah Sogo.

Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008.