Adalah terlalu awal untuk meletakkan parti sebagai 'government in-waiting' atau dalam erti kata lain, terlebih perasan?

Ini kenyataan tegas ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau percaya UMNO perlu bina imej sebagai pembangkang berwibawa terlebih dahulu sebelum ada misi rampas semula kerajaan.

"Presiden menggunakkan 'government in-waiting' dan saya rasakan ini adalah terlalu awal. Orang tidak melihat kita sebagai 'government in-waiting'.

"Kita mahu dilihat sebagai pembangkang yang berwibawa terdahulu. Mungkin selepas dua atau tiga tahun, barulah kita dilihat sebagai 'government in-waiting'.

"Kalau cakap hari ini, ia terlalu awal, saya sifatkan sebagai perasan, macam kita sudah sampai tahap 'government in-waiting'. Tetapi kita belum sampai ke tahap itu lagi.

"Bagi masa untuk kita laksanakan tugas dan mungkin selepas dua atau tiga tahun, barulah kita dilihat sebagai government in-waiting," katanya sebagai reaksi ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Dalam pada itu Khairy juga menyifatkan ucapan dasar Presiden masih berkisar naratif lama.

Malah kata bekas Ketua Pemuda UMNO itu, ucapan Zahid seolah-olah menwujudkan minda terkongkong dalam politik Melayu.

"Saya kalau dengar ucapan Presiden, dia masih lagi berpusing di situ sahaja seolah-olah mewujudkan pemikiran yang saya rasa tidak berapa positif untuk orang Melayu.

"Kita mahu memperkasakan orang Melayu, kita mahu satu politik Melayu yang boleh mewujudkan konteks kemajmukan yang lebih besar," jelasnya lagi.

Dalam perenggan 101 ucapan dasar Presiden, Zahid ada menyebut keyakinannya mengenai kebangkitan UMNO yang disifatkan sebagai kerajaan menanti atau 'government in-waiting'.

"Perlu saya tegaskan, kita bukan hanya sebagai pembangkang yang konstruktif dan dinamik, tetapi kita juga adalah kerajaan menanti atau 'government in-waiting'," tegas Zahid.