Kalah atau menang dalam saingan merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, Calon Presiden, Khairy Jamaluddin mahu terus menjadi ‘Singa UMNO’ di Dewan Rakyat menentang Kerajaan Pakatan Harapan.

Khairy berkata, beliau akan terus bersuara dan memastikan UMNO menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Ujarnya, jika kemenangan berpihak kepadanya, antara perkara yang akan dilakukan ialah menyediakan barisan menteri kabinet bayangan yang bertindak memantau dan menuntut janji 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan.

"Saya kalau menang perkara pertama akan susun barisan menteri kabinet bayangan dalam Dewan Rakyat. Walaupun kita kalah tetapi kita parti kedua terbesar dalam Dewan Rakyat.

"Kita tunjuk kepada rakyat bahawa UMNO tuntut janji Pakatan Harapan 100 hari seperti harga minyak turun, tol percuma, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditangguhkan untuk anak muda, dan harga barangan.

"Kita mesti menunjukkan bahawa kita kuat, jangan buat sedih dan menyerah kalah (atas kekalahan). Kita mahu berunding dengan pihak lawan serta meminta nyawa daripada mereka.

"Perlu dipastikan bahawa kita parti yang ada maruah, kita parti yang ada harga diri kalau kita nak runding, biar berunding dengan singa yang sudah mengaum dalam Dewan Rakyat," katanya semasa berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama Khairy Jamaluddin, di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada malam Khamis.


Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Setiausaha Barisan Nasional negeri, Datuk Omar Faudzar.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu bertanding merebut jawatan Presiden bersama dua lagi calon iaitu pemangku Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah Sabtu ini.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan beliau tidak akan sesekali meninggalkan parti keramat Melayu itu sebaliknya akan terus kekal setia dengan parti dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

Ujarnya, beliau bertanding jawatan tertinggi parti itu dengan matlamat untuk menang kerana mahu membawa perubahan kepada parti dan tidak terfikir untuk berpaling tadah.

"Setakat kalah jawatan presiden saya nak ke mana. Saya ada maruah dan harga diri. Kalau saya lompat, mana saya hendak letak muka saya.

"Kalau saya lompat nanti, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) tampar saya. Saya dalam politik suka bercakap berbahas, berdebat. Oleh itu, jika tidak dtakdirkan saya jadi presiden parti, izinkan saya jadi singa UMNO dalam Parlimen," katanya.