Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut bersetuju bahawa bekas pemimpin parti wajar memberi ruang kepada pengganti untuk menetapkan hala tuju parti.

"Itu pandangan sesetengah pihak dalam UMNO bahawa bekas pemimpin perlu beri ruang sepenunnya pada pemimpin baharu untuk jalankan tugas dan mencorakkan hala tuju baru.

"Saya setuju bahawa pemimpin baharu dalam parti perlu diberi ruang sepenuhnya untuk meletakkan hala tuju yang baru," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz telah menyarankan Najib supaya 'faham-faham sendiri' bila masa beliau perlu jarakkan diri daripada UMNO.

Katanya, Najib sepatutnya mengambil langkah yang sama seperti mana yang pernah dilakukan oleh bekas Presiden UMNO iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad.