Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sedia memberi keterangan kepada jawatankuasa khas parti berhubung dakwaan terlibat dalam komplot menggulingkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata beliau hanya akan memberi keterangan kepada jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden Pas memandangkan perkara itu membabitkan masalah dalaman parti.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana masih belum dipanggil oleh jawankuasa khas tersebut untuk memberi keterangan.

“Saya hanya akan memberi kenyataan kepada jawatankuasa khas siasatan yang dipengerusikan Datuk Seri Abdul Hadi berkenaan segala tuduhan kepada saya kerana ia masalah dalaman parti, sekiranya diminta,” ujar Mohamad.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas penyebaran rakaman audio yang didakwa melibatkan komplot antara beliau dengan pemimpin Pas lain untuk menyingkirkan Abdul Hadi daripada jawatan Presiden.

Ketika ditanya mengenai kesahihan audio tersebut, Mohamad mendakwa beliau tidak tahu dan belum mendengarnya kerana berada di luar negara ketika rakaman audio itu mula tersebar di laman sosial.

“Berkenaan kedudukan saya di dalam parti, saya serahkan (keputusan) kepada muktamar serta kebijaksanaan perwakilan (parti),” ujarnya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Butterworth selepas menghadiri perbicaraan kes beliau yang didakwa memfitnah anggota keselamatan Bukit Kepong yang maut dalam serangan hendap pengganas Komunis sewaktu zaman darurat dahulu.

Pada Rabu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata parti telah memulakan siasatan terhadap dua pemimpin kanan parti itu yang didakwa menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Abdul Hadi.

Siasatan itu dijalankan selepas satu rakaman audio berdurasi dua minit 10 saat, didakwa mengandungi perbualan di antara Mohamad dan pemimpin Pas dalam mengatur perancangan untuk menjatuhkan Abdul Hadi, tersebar di laman sosial.