Komposisi anggota Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Selangor yang diperuntukkan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah mengikut kadar bilangan anggota mana-mana parti di dalam Dewan, kata Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh Tseow Suan.

Beliau berkata komposisi itu selaras dengan Peraturan Tetap 72(1), Peraturan-peraturan Tetap DUN Selangor malah turut berlandaskan Peraturan 82(1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang diguna pakai di Parlimen.

"Saya mengambil maklum bahawa Datuk Mohd Shamsuddin Lias (bekas ketua pembangkang DUN) ada membangkitkan isu komposisi dalam jawatankuasa PAC yang didakwa berat sebelah dan tak mencerminkan semangat demokrasi sebenar.

"Ingin saya jelaskan bahawa komposisi yang ditetapkan adalah mengikut kadar parti masing-masing di dalam DUN malah amalan ini turut diguna pakai oleh Parlimen di beberapa negara komanwel yang maju," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas peletakan jawatan ketua pembangkang DUN oleh Mohd Shamsuddin yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong daripada Barisan Nasional (BN), berkuat kuasa serta merta hari ini berikutan keengganannya menerima pelantikan sebagai pengerusi PAC Selangor.

Yeoh menjelaskan tindakan meminda peraturan tetap berkaitan yang mewajibkan ketua pembangkang dilantik sebagai pengerusi PAC pada persidangan DUN Khamis lepas adalah untuk memastikan DUN Selangor dapat terus maju seiring dengan negara-negara maju.

Katanya pelantikan Ketua Pembangkang sebagai pengerusi PAC adalah penting terutamanya dalam memantau laporan audit berkaitan perbelanjaan dan kewangan.

"Jika berlaku keadaan yang mana ada anggota PAC yang tidak mahu bersetuju dengan keputusan pengerusi, pengerusi layak dengan kuasanya untuk membuat sidang media memberitahu rakyat tentang perkara itu dan dari sini, rakyat boleh mengukur keberkesanan Adun mereka," katanya.

Sehubungan itu katanya, BN Selangor disaran segera memilih dan menamakan calon daripada 12 Adun mereka untuk berperanan sebagai ketua pembangkang baharu seterusnya dilantik sebagai pengerusi PAC Selangor.

Beliau berkata, kesegeraan BN Selangor melantik ketua pembangkang baharu dapat membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri terutamanya bagi isu yang melibatkan jawatankuasa PAC Selangor.

Terdahulu, Mohd Shamsuddin dalam sidang akhbarnya hari ini mendakwa tindakan kerajaan Selangor meletakkan komposisi anggota jawatankuasa PAC dengan dimonopoli Adun Pakatan Rakyat (PR) dilihat lebih berunsur muslihat politik.