Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu lebih ramai komuniti Cina diwakili dalam kabinet Barisan Nasional (BN).

Ujarnya penyertaan masyarakat Tionghua kurang diwakili dalam tempoh lima tahun ekoran kekurangan wakil rakyat komuniti berkenaan yang dipilih dalam kerajaan.

"Saya mahu tanya anda sekalian, jika suara anda kurang diwakili dalam kabinet kerajaan BN adakah ia sesuatu yang bagus untuk komuniti anda?

"Kalau anda membuat kiraan demografi, hanya ada 24 peratus populasi Cina di negara ini. Jadi komuniti Cina sahaja tidak boleh membentuk kerajaan.

"Masyarakat Cina perlu bersama-sama BN iaitu parti UMNO bagi membentuk kerajaan yang lebih kuat agar dapat memperjuangkan hak-hak semua kaum termasuk komuniti Cina.

"Saya mahu representasi kaum Cina yang lebih kuat dalam BN," katanya di majlis bersama komuniti Tionghua di Sandakan.

Ujarnya lagi kejayaan ekonomi bergantung kepada kestabilan politik sekali gus memberi manfaat kepada rata-rata golongan perniagaan dan usahawan komuniti Cina di negara ini.

"Dengan kerajaan BN yang lebih kuat, ini akan memastikan kestabilan politik dalam negara dan anda pasti akan mendapat manfaat daripada kestabilan ini."

"Dengan mandat yang lebih kuat, dijangkakan nilai ringgit akan kukuh kepada tahap 3.70 dan 3.80 menjelang akhir tahun ini. Ini adalah berdasarkan ramalan dan pasaran global. Jika keyakinan pasaran meningkat, siapa yang akan mendapat manfaat? Masyarakat Tionghua juga" katanya.

Berhubung isu keselamatan, beliau yang juga Pengerusi BN memberi jaminan keselamatan di Sabah di bawah pentadbiran BN.

"Dalam tempoh dua tahun ini, tiada berlaku kes penculikan dan saya sedang berbincang dengan Presiden Filipina, Duterte untuk sama-sama menjaga keamanan Sabah. Saya beri jaminan Sabah selamat di bawah BN."

Tambahnya sejumlah RM250 juta diperuntukkan kepada Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) setiap tahun bagi menjaga keselamatan di perairan pantai timur Sabah.

"Saya tidak pasti dengan Parti Warisan Sabah. Jangan tertipu dan mengambil risiko menggadaikan apa yang anda nikmati sekarang. Ia adalah sama seperti oksigen. Sering kali kita ambil ringan tetapi bila ia tiada lagi anda akan sedar ia sebenarnya begitu berharga," katanya lagi.