Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) berpeluang menegur barisan pimpinan tertinggi ketika sesi penggulungan sekiranya terdapat sebarang isu berbangkit ketika Konvensyen Nasional parti itu pada 14 hingga 16 Dis ini.

Setiausaha Agungnya Mohd Anuar Mohd Tahir berharap pemimpin tertinggi parti itu menerima teguran perwakilan secara terbuka demi kelangsungan parti.

“Hampir semua pimpinan akan ada dan akan jawab bukan sahaja menggulung segala pandangan dan cadangan penambahbaikan. Sebagai pemerintah (kerajaan), saya harap pimpinan tertinggi menerima teguran secara terbuka demi kelangsungan parti,” katanya kepada Bernama.

Mohd Anuar berkata Konvensyen Nasional Amanah 2018 yang bakal diadakan di Hotel Casuarina, Meru di Ipoh, Perak akan memberi fokus kepada usaha pengukuhan dan penambahbaikan parti.

Beliau berkata konvensyen nasional kali ketiga itu dijangka dihadiri 1,000 perwakilan dari 156 kawasan sah berdaftar dan merupakan yang pertama diadakan selepas parti itu menjadi sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan.

“Memilih Perak sebagai tuan rumah selepas Selangor pada 2016 dan Kedah tahun lalu, konvensyen ini akan menjadi 'post-mortem’ (pascanilai) bagi prestasi setiap pemimpin yang berada dalam kabinet sepanjang tempoh enam bulan ini,” katanya lagi.

Mohd Anuar yang juga anggota Parlimen Temerloh menjelaskan setakat ini perbincangan dengan pembahas mengenai usul yang bakal dibawa adalah merangkumi isu ekonomi, sosial, politik, antarabangsa dan pendidikan.

Mengenai atur cara konvensyen nasional itu, Mohd Anuar berkata proses pendaftaran perwakilan akan diadakan pada 14 Dis manakala majlis perasmian akan disempurnakan Presiden Amanah Mohamad Sabu pada 15 Dis.

“Ia diikuti penyampaian pidato oleh presiden yang kemudiannya akan dibahas oleh perwakilan sebelum laporan tahunan dibentang oleh setiausaha agung dan pembentangan laporan penyata kewangan oleh bendahari.

"Pada 16 Dis, akan diadakan sesi penggulungan oleh barisan kepimpinan parti, katanya.