Kemelut kepimpinan kerajaan negeri Selangor dilihat masih tergantung lantaran belum ada kata putus daripada Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali.

Walaupun belum ada keputusan, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua menyifatkan pertemuan yang berlangsung pada Isnin itu sebagai sangat membina, menerusi perkongsian pelbagai idea dan cadangan.

Pua mengulas mengenai kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad semalam yang berkata Majlis Syura PAS dijangka memuktamadkan cadangan memutuskan hubungan dengan DAP selepas Aidilfitri nanti.

BACA: Majlis Syura PAS muktamadkan usul putus hubungan dengan DAP selepas Aidilfitri

"Berkenaan krisis DAP-PAS, pelbagai idea telah dicadangkan (dalam mesyuarat). Pertemuan ini adalah sangat konstruktif.

"Bukan tiada keputusan, tetapi belum ada keputusan," ujar Pua selepas menghadiri pertemuan selama 30 minit yang berlangsung di pejabat Azmin di sini hari ini.

Katanya, menerusi pertemuan hari ini, pimpinan DAP Selangor lebih memahami posisi (pimpinan) masing-masing.

Sementara itu, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR tidak memberi apa-apa indikasi tentang kemelut politik yang sedang hangat diperkatakan. Seolah-olah tiada apa-apa yang sedang berlaku, Azmin mengambil jalan selamat dengan memberitahu pihak media yang berada di Bangunan SUK itu bahawa, "kerajaan Selangor adalah kukuh dan stabil di mana fokus masih tertumpu pada dasar-dasar yang belum terlaksana.

"Selangor seperti yang saya beri jaminan, kerajaan negeri Selangor stabil dan kukuh dan kita menumpukan seluruh tenaga untuk membangunkan negeri Selangor berdasarkan dasar-dasar yang diputuskan sebelum ini," ujarnya.

Ditanya apakah keputusan hasil mesyuarat bersama pimpinan DAP, Azmin menyatakan tidak ada sebarang keputusan yang perlu dibuat.

"Tidak ada keputusan, ini perbincangan seperti biasa, berlangsung dalam suasana yang harmoni, perbincangan yang sangat konstruktif," kata Azmin.

Pua, yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut memaklumkan bahawa satu lagi pertemuan tertutup antara DAP dan PKR akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Tegas Pua, DAP Selangor tidak pernah mengalami masalah tentang kepimpinan Azmin dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"DAP Selangor tidak pernah ada masalah dengan Azmin sebagai Menteri Besar. Isunya bukan sebab Azmin," ulas Tony di lobi Bangunan Kerajaan Negeri Selangor yang turut diiringi oleh Timbalannya, Gobind Singh Deo; Naib Pengerusi, Hannah Yeo dan beberapa lagi pimpinan DAP Selangor.

Selain Azmin, turut hadir mewakili PKR adalah Zuraida Kamaruddin, Dr Xavier Jayakumar, N. Surendren dan Hee Loy Sian.