Dewan Undangan Negeri Selangor ke - 13 dibubarkan berkuatkuasa hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembubaran itu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Istana Alam Shah pada Isnin.

Perkenan itu selaras dengan perkara 55 undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibaca bersama Perkara 70 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pembubaran dilaksanakan mengikut peruntukkan dalam Fasal (2) Perkara 70 Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Menurut Azmin, sehingga kerajaan baru terbentuk, pentadbiran negeri akan berfungsi sebagai caretaker government seperti yang termaktub dalam Pekeliling Setiausaha kerajaan Negeri yang menggariskan situasi, fungsi dan limitasi sebagai 'caretaker government'.

BACA. FAHAM.UNDI: Layari laman #MalaysiaMemilih untuk liputan PRU14 yang komprehensif


"Ini adalah sebahagian daripada prinsip tatakelola yang baik untuk menjamin kuasa tidak disalahgunakan." jelas Azmin dalam sidang media yang diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Shah Alam.

"Sejurus daripada sidang media ini saya dan kesemua ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri akan menyerahkan kembali kenderaan rasmi masing-masing kepada kerajaan negeri Selangor," tambah Azmin.

Pada sidang media itu, Azmin turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri itu yang telah memberi mandat kepada pentadbirannya.

Azmin menjelaskan kini kuasa di tangan rakyat negeri itu untuk menentukan siapa yang bakal dipilih untuk mengisi pentadbiran kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan kelak.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu lepas (7 April) bagi membolehkan PRU ke-14 (PRU14) diadakan.

Mandat kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR tamat pada Jun 2018. Sesi persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 21 Jun 2013, selepas PRU13.

Pada PRU13, Selangor yang mempunyai komposisi 56 kerusi DUN, dikuasai DAP dan PAS yang mana masing-masing memenangi 15 kerusi dan PKR (14) manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 12 kerusi yang kesemuanya dimenangi calon UMNO.

Kerusi PKR kemudian berkurang kepada 13 selepas penyandang kerusi DUN Pelabuhan Klang iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada parti itu pada 2014 susulan 'Langkah Kajang' dan menjadi wakil rakyat Bebas.