Sebanyak 75 agensi media cetak dan elektronik tempatan serta antarabangsa memulakan tugas secara rasmi pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-71 hari ini.

Ia membabitkan 61 agensi tempatan dan 14 agensi antarabangsa dengan penglibatan 1,795 petugas media yang telah berdaftar ke perhimpunan itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan perasmian laman media yang diadakan di Dewan Tun Abdul Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Petugas media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2017 kali ini mempunyai ruang kerja yang lebih selesa dan luas bagi memberikan liputan terbaik perhimpunan agung tahunan parti itu.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata laman media ini menyediakan ruang bekerja kondusif bukan sahaja Media cetak dan elektronik, malah portal berita dan penulis blog berdaftar.

Laman media perhimpunan agung tahunan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu sebelum ini beroperasi di Bilik Mawar sejak 2011.

Penambahbaikan laman media kali ini meliputi penyediaan ‘Ruang Kerja Santai’, Bilik Sidang Media, surau serta ruang makan setempat bagi kemudahan lebih kondusif pertambahan petugas media, sementelah perhimpunan kali ini bakal menjurus kepada isu-isu pilihan raya umum ke-14.

Malah, pihak urusetia turut meningkatkan tahap keselamatan di PWTC dengan menggunakan teknologi pengimbas keselamatan Sistem Pengenalan Diri Frekuensi Radio (RFID) bagi mengesan ketulenan setiap pas pengenalan diri perwakilan, pemerhati dan pengamal media.

Langkah itu bertujuan mengelakkan perbuatan menipu pas pengenalan, yang sebelum ini menggunakan sistem bar code, untuk memasuki dewan perhimpunan serta Laman Media oleh segelintir mereka yang mencetak semula pas.