Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak memuat naik kandungan dokumen Kertas Putih Felda malam tadi, satu perbuatan yang serius dan harus diambil tindakan.

Dokumen tersebut diklasifikasi embargo sehingga pagi tadi.

“Dia bukan wakil rakyat yang baharu dilantik, tetapi bekas Perdana Menteri. Dia tidak mengambil kira peraturan-peraturan percetakan sesuatu kertas yang diembargo.

“Kita pandang serius perkara ini dan kita akan ambil tindakan supaya ia akan menjadi peringatan bahawa tidak ada sesiapa yang lebih tinggi daripada peraturan,” tegasnya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan telah memfailkan usul kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk mengambil tindakan terhadap Najib susulan tindakannya itu.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan bekas perdana menteri itu tidak berani untuk berdepan beliau di dalam Parlimen.

Mohamed Azmin berkata Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan hanya berani bersuara di laman sosial.

“Saya nak jawab YB Jeli (Datuk Seri Mustapa Mohamad), secara tidak langsung menjawab (soalan) YB Pekan (di media sosial). Nak buat apa, dia tak berani nak datang Dewan (Rakyat).

“Tidak ada kejantanan untuk berdepan dengan Gombak dalam Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat sewaktu menggulung Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda)’.

BACA: 'Najib, datang Parlimen.. jangan jadi ahli Facebook' - Azmin

Mohamed Azmin dalam sidang media tengah hari tadi meminta supaya Najib hadir ke Parlimen dan akan menjawab persoalan yang dibangkitkan Najib di laman sosialnya.