Laporan palsu oleh The Wall Street Journal (WSJ) mengenai pelantikan Gabenor Bank Negara (BNM) yang baharu dilihat sama dengan langkah dan usaha pembangkang yang mahu mengelirukan rakyat selama ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata tindakan itu memang sengaja dilakukan pihak tertentu untuk menghancurkan semua institusi kerajaan.

"Mereka mahu rakyat sentiasa sangsi dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Apabila isu ini selesai dan WSJ terbukti silap, inilah masanya rakyat yang masih belum sedar untuk membuka mata serta sedar dan berjaga-jaga dengan permainan pembangkang dan WSJ sendiri pada masa hadapan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.

Sebelum ini, WSJ melaporkan beberapa kali, termasuk oleh Ken Brown pada 20 April dan Tom Wright pada 11 Mac, bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melantik Tan Sri Irwan Serigar Abdullah sebagai Gabenor BNM yang baharu dan beliau dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia sekali gus menyebabkan ramai yang percayakan laporan WSJ itu selain membenarkan ia digunakan sebagai alat oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi 'Kempen Anti-Najib', dengan tajuk yang sensasi.

Dalam pada itu, jelas Bastien, setiap wartawan juga perlu mematuhi etika kewartawanan dengan melaporkan perkara sebenar.

"Mereka perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih dan melalukan semakan terhadap maklumat yang diterima," ujarnya.

Sebelum ini juga, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dalam kenyataannya berkata, pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia baharu berkuat kuasa 1 Mei ini menyerlahkan kegagalan laporan WSJ.

Tegasnya, pembohongan serta langsung tidak mempedulikan fakta oleh WSJ telah sekali lagi terbukti.

Dalam pada itu, Bastien menjelaskan, pelantikan Muhammad itu bertepatan bagi memastikan BNM kekal bebas dari pengaruh politik.

"Muhammad merupakan seorang yang berkelayakan tinggi dan mempunyai pengalaman yang luas di dalam sistem kewangan negara. Kami yakin dan percaya BNM akan terus unggul sebagai sebuah badan yang mengurus tadbir hal-hal kewangan negara. Ini akan menyumbang kepada keyakinan pasaran pelaburan.

"Lantikan dilihat berpaksikan profesionalisme dan sekali gus menafikan khabar angin bahawa gabenor yang baru akan datang dari luar BNM.

"Kenaikan pangkat ini akan menjadikan BNM kekal bebas dari tekanan politik untuk menjalankan tugasan badan berkanun tersebut. Lantikan ini juga membuktikan bahawa tiada sebarang usaha untuk menutup siasatan 1MDB dengan melantik gabenor baharu dari kalangan orang politik," katanya.

Bastien turut merakamkan penghargaannya kepada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sepanjang baktinya menjadi Gabenor BNM sebelum ini.