Seramai 1,300 ahli PKR cabang Api-Api didakwa bertindak keluar parti dan menyertai Parti Cinta Sabah (PCS).

Gerakan keluar parti beramai-ramai itu diketuai oleh Naib Pengerusi Cabang PKR Api-Api, Roman Lo.

Dalam satu kenyataan medianya hari ini, beliau mendakwa, mereka bertindak demikian selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Roman kemudian menyertai PCS dan menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Wilfred Bumburing dalam satu majlis tertutup di Kota Kinabalu, hari ini.

Roman mendakwa kira-kira 1,300 ahli PKR cawangan yang direkrut pihaknya sebelum ini turut keluar daripada parti berkenaan dan menyertai PCS.

"Saya percaya dengan daya kepimpinan Datuk Seri Anifah Aman selaku Presiden PCS, Datuk Wilfred Bumburing (Timbalan) dan Datuk Pang Yuk Ming (Naib), kita boleh menyelesaikan kemelut politik untuk Sabah maju ke arah lebih baik, ke peringkat tertinggi.

"Saya akan meletakkan pengalaman lalu untuk dimanfaat sepenuhnya menerusi PCS," katanya.