Sebanyak enam kerusi Parlimen di Pahang telah merekodkan jumlah pengundian lebih 50 peratus setakat jam 12 tengah hari.

Kerusi parlimen P078 Cameron Highlands (50.38%), P079 Lipis (55.05%), P081 Jerantut (50.87%), P085 Pekan (50.83%), P089 Bentong (51.22%) dan P090 Bera (51.60%).

Setakat ini, 388,156 pengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka di 522 lokasi buang undi di seluruh negeri. Rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan terdapat 802,482 pengundi di negeri ini.

Pekan mempunyai jumlah keluar mengundi paling ramai iaitu seramai 41,715 pengundi diikuti Bentong 32,739 pengundi dan Temerloh seramai 32,629 pengundi.

Sementara itu kerusi-kerusi parlimen lain merekodkan kehadiran pengundi sebanyak lebih 40 peratus.

Di Bentong, suasana menjadi sedikit tegang di Sekolah Kebangsaan Sulaiman, Bentong, apabila dua-dua calon parlimen P089 Bentong hadir ke pusat pengundian tersebut.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai turut membuang undi di sekolah tersebut pada jam 8.50 pagi bernama isteri dan ibunya.

Calon Dun Bilut Jason Poo Mun Hoong turut mengundi di sekolah itu pada jam 9:00 pagi.

Liow yang ditemuramah media setelah membuang undi berkata beliau berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mendengar isi hati rakyat dan memastikan proses pengundian dijalankan dengan cepat dan cermat.

“Saya merasa sangat bersyukur hari ini kerana begitu ramai orang keluar mengundi awal pagi pada hari ini.

Maksudnya proses demokrasi di negara ini sedang berlangsung dengan baik. Saya turut berharap proses pengundian hari ini akan berjalan dengan aman walaupun saingan begitu sengit,” katanya.

Calon-calon dari PKR, Wong Tack yang bertanding untuk kerusi parlimen dan Lee Chin Chen yang bertanding di kerusi negeri Bilut turut melawat SK Sulaiman walaupun mereka tidak mengundi di sana.

Wong Tack berkata beliau mendapat reaksi yang begitu positif dari pengundi pada hari ini dan berharap lebih ramai golongan muda keluar untuk mengundi pada hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bentong. Calon BN Dun Ketari Datuk Lau Hoi Kong dilihat hadir menyatakan sokongan kepada Adnan di sekolah tersebut sebelum membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Tinggi.