Barisan Nasional (BN) akan memansuhkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dikenakan kerajaan PKR bagi 51 jeti nelayan di Selangor sekiranya ia dapat menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata caj lesen itu terlalu tinggi sehingga menyebabkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terpaksa menanggung kos kira-kira RM4 juta bagi permohonan lesen tersebut.

"Di Selangor, terdapat 51 jeti nelayan dan kerajaan Persekutuan menerusi LKIM terpaksa memperuntuk kira-kira RM4 juta bagi membayar caj lesen TOL itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gelombang Nelayan Nasional peringkat Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi LKIM Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata lesen itu dikenakan ke atas LKIM sejak pentadbiran Selangor diambil alih pakatan pembangkang.

Noh berkata sekiranya caj itu tidak dikenakan, LKIM dapat menggunakan peruntukan itu untuk tujuan lain termasuk menjaga kebajikan nelayan di Selangor.

"Apa sebenarnya kebajikan yang kerajaan negeri buat untuk 5,000 nelayan di Selangor?

"Kitalah (kerajaan Persekutuan) yang keluarkan duit bina jeti, bagi lagi elaun sara hidup, baiki rumah nelayan… semua ini untuk kemudahan dan kebajikan golongan nelayan, tetapi mereka (kerajaan negeri) pula hanya tahu kenakan caj dan kutip cukai sahaja," katanya.

-- BERNAMA