MIC tetap dengan pendirian untuk mengikut apa yang telah dipersetujui bersama Barisan Nasional (BN) berhubung isu Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355).

Menurut Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam, ketetapan itu telah dibuat selepas berbincang dengan komponen BN yang lain termasuk MCA, Gerakan serta Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) termasuk pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perkara itu telah dinyatakan dahulu. Sekarang kita sudah bincang dengan BN satu langkah untuk menangani tersebut, jadi kita akan ikut apa yang sudah dipersetujui," katanya selepas menyempurnakan majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat Peringkat Kebangsaan 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau akan meletakkan jawatan, beliau menjawab ringkas, "Itu awak tunggulah."

Dr Subramaniam sebelum ini menyatakan pendiriannya untuk berundur daripada kerajaan sekiranya segala usaha untuk menghalang hudud dilaksanakan, tidak berhasil.

Antara pemimpin BN yang turut menyatakan hasrat sama untuk meletak jawatan ialah pemimpin MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Wee Ka Siong serta Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Rang undang-undang Akta 355 dijadual akan dibahaskan dalam sesi mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-13 yang bermula 17 Oktober.