Lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor akan menjadi penentu kepada kedudukan kerajaan Pakatan Harapan di negeri tersebut.

Menurut Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Azmi Hassan, ini kerana, jumlah bilangan kerusi yang diperoleh bagi kedua-dua pihak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah sama iaitu masing-masing 28 kerusi.

"Apa yang berlaku di Johor agak unik sedikit dan kalau digabungkan jumlah kerusi yang dimiliki oleh Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang keluar dari Pakatan Harapan (PH) jumlahnya ialah 28 kerusi.

"Gabungan kerusi PH yang dimiliki oleh DAP, Amanah dan PKR jumlahnya juga 28 dan status quo sama kuat tetapi dalam PKR, lima ADUN itu kita tidak tahu akan menyebelahi pihak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, berdasarkan pemerhatian awal, kedudukan PH di Johor dilihat tidak stabil sekali gus akan menjejaskan kedudukan kerajaan PH di negeri tersebut.

"Kalau hanya satu dua DUN sahaja yang memihak kepada Mohamed Azmin, maka Kerajaan Negeri Johor akan runtuh kerana mereka sudah hilang majoriti.

"Pada saya, apa sahaja yang berlaku khususnya pembentukan kerajaan Persekutuan turut menjejaskan kedudukan DUN Johor," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kedudukan kerajaan PH di Melaka secara automatik sudah hilang majoriti selepas PPBM keluar daripada pakatan itu.

"Situasi di Melaka lebih genting kerana sekiranya dicampur kerusi DUN yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN) dan PPBM sudah melangkaui majoriti yang dimiliki DAP, PKR dan Amanah," jelasnya.