Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PIlihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kerana beliau mempunyai pengalaman politik di kedua-dua belah pihak.

Malah, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengumumkan perkara itu pada Jumaat berkata, Lokman dipilih memandangkan beliau lantang menyuarakan isu rakyat.

“Lokman merupakan seorang aktivis masyarakat, beliau banyak berkecimpung dalam pertubuhan bukan kerajaan, dan kebelakangan ini lantang menyuarakan isu rakyat.

“Kita harap isu-isu yang akan dibawa ini dapat membuka mata pengundi,” katanya kepada sidang media di Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Sungai Kandis di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di Kota Kamunindi sini.

Semalam Pakatan Harapan telah mengumumkan Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebagai calon di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk pilihan raya itu.

Pemilihan Mohd Zawawi, 48 tahun, diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Pelancaran Jentera PKR di Padang Rakyat, Jalan Kebun di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau mengharapkan pengundi di DUN ini dapat membuat keputusan yang lebih rasional dalam memilih wakil mereka.

Ujarnya lagi, PRK Sungai Kandis ini merupakan pentas terbaik untuk BN menjalankan ujian bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti itu.

Sementara itu, Lokman berkata, PRK ini juga merupakan wadah terbaik untuk rakyat menyuarakan ketidakpuashatian yang berlaku apabila sudah mula timbul pertikaian-pertikaian mengenai hak-hak istimewa Melayu, Bumiputera, Islam dan Bahasa Melayu.

Menurutnya lagi, sudah tiba masanya untuk rakyat memutuskan sama ada berpuas hati dengan tindakan sesetengah daripada janji parti untuk rakyat termasuk hak orang Melayu, kedudukan Bahasa Malaysia sepertu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya juga yakin ramai nak terjemahkan perasaan terhadap apa yang dilakukan kepada Agong,” katanya lagi.